
DAERAH PELANCONGAN BERSEJARAH
Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor, Malaysia. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru. Keluasan daerah Kota Tinggi ialah 3488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit dan pertanian di samping terdapat kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di pesisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan.
Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Terdapat juga petempatan orang Asli di daerah ini.
Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah air terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi yang unik di seluruh dunia.
Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam sultan terakhir bagi Kesultanan Melaka) dan Makam Tauhid di Kampung Makam. Makam Laksamana Bentan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid terletak di Kampung Kelantan. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama "Dang Anom". Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.
Air Terjun Kota Tinggi Bandar Kota Tinggi pada dirinya tidak begitu menarik, tetapi air terjun yang terletak di Lombong, 15 kilometer di barat laut bandar ini, merupakan destinasi pelancongan yang amat popular. Setinggi 36 meter, air terjun ini terletak di kaki Gunung Muntahak yang mempunyai ketinggian 634 meter. Air sungai yang dingin mengalir melintasi beberapa kolam yang cetek dan yang ideal untuk berenang. Keindahan semulajadi di beberapa bahagian tempat ini telah dirosakkan oleh pembangunan tempat peranginan dengan seni taman buatan.
Terdapat juga banyak pantai di sepanjang pinggir laut Kota Tinggi. Pantai-pantai paling popular ialah Tanjung Balau, Desaru , Batu Layar dan Tanjung Sedili yang masing-masing terletak 58 km, 55 km, 62 km dan 45 km dari bandar Kota Tinggi. Chalet-chalet dan hotel-hotel yang menawarkan kadar yang berpatutan boleh didapati dengan mudah di sepanjang pantai.
Teluk Sengat yang terletak 25 kilometer di timur bandar Kota Tinggi merupakan kampung makanan laut yang popular di kalangan pelancong, khususnya pelancong-pelancong dari negara Singapura. Untuk sampai ke Kota Tinggi orang ramai boleh menggunakan susur keluar Tol Kulai melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Kota Tinggi tidak mempunyai laluankereta api tetapi masih boleh berbuat demikian. Stesen KTM johor Bahru merupakan Stesen terdekat. Jaraknya hanya 45 kilometer sahaja dari bandar Kota Tinggi.
KAMPUNG FELDA AIR TAWAR SATU
Felda Air Tawar 1 adalah rancangan sawit yang pertama dibangunkan diantara 5 rancangan dalam gugusan Air Tawar. Nama Air Tawar diambil dari nama kawasan tadahan air tawar di Sungai Seluyut. Sempena dengan itu rancangan ini telah dinamakan Felda Air Tawar 1.
Felda Air Tawar 1 mula diterokai pada awal tahun 1969 dan mula menerima para peneroka mulai tahun 1970 sehingga 1972. Jumlah rumah peneroka yang dibina sebanyak 670 buah. Keluasan tanah, tanaman kelapa sawit 2535.49 hektar. Keluasan perkampungan 138.80 hektar. Jumlah keseluruhan penduduk di Felda Air Tawar 1 ialah seramai 4,200 orang. Penduduknya terdiri dari bangsa Melayu dan beragama Islam.
Punca pendapatan penduduknya, dari hasil ladang kelapa sawit, kilang dan juga berniaga. Felda Air Tawar 1 terletak dalam mukim Johor Lama, di daerah Kota Tinggi, Johor. Jarak ke bandar Kota Tinggi lebih kurang 25 km. Jarak ke Balai Polis Air Tawar 2 lebih kurang 6 km. Sempadan Utara Felda Air Tawar 1 ialah Felda Air Tawar 2, dibahagian Barat pula bersempadan dengan Ladang Nanyo, arah Selatan bersempadan dengan Teluk Sengat dan disebelah Timur pula bersempadan dengan Felda Air Tawar 4 & Lok Heng.
Felda Air Tawar 1 ini termasuk di dalam kawasan pentadbiran FELDA wilayah Johor Bahru. Persempadan kawasan pilihanraya meletakkan Felda Air Tawar 1 di dalam kawasan undangan negeri Penawar yang kini diwakili oleh Yang Berhormat Puan Hamimah Binti Mansor dari parti UMNO dan Barisan Nasional. Manakala kawasan parlimennya ialah Parlimen Pengerang yang diwakili oleh yang Berhormat Dato Seri Azalina Binti Othman Said juga dari parti UMNO dan Barisan Nasional.
~Dari Wikipedia Bahasa Melayu
No comments:
Post a Comment