Friday, October 24, 2008

KOTA TINGGI - DAERAH PELANCONGAN BERSEJARAH


DAERAH PELANCONGAN BERSEJARAH

Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor, Malaysia. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru. Keluasan daerah Kota Tinggi ialah 3488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit dan pertanian di samping terdapat kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di pesisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan.

Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Terdapat juga petempatan orang Asli di daerah ini.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah air terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi yang unik di seluruh dunia.

Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam sultan terakhir bagi Kesultanan Melaka) dan Makam Tauhid di Kampung Makam. Makam Laksamana Bentan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid terletak di Kampung Kelantan. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama "Dang Anom". Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.

Air Terjun Kota Tinggi

Bandar Kota Tinggi pada dirinya tidak begitu menarik, tetapi air terjun yang terletak di Lombong, 15 kilometer di barat laut bandar ini, merupakan destinasi pelancongan yang amat popular. Setinggi 36 meter, air terjun ini terletak di kaki Gunung Muntahak yang mempunyai ketinggian 634 meter. Air sungai yang dingin mengalir melintasi beberapa kolam yang cetek dan yang ideal untuk berenang. Keindahan semulajadi di beberapa bahagian tempat ini telah dirosakkan oleh pembangunan tempat peranginan dengan seni taman buatan.

Terdapat juga banyak pantai di sepanjang pinggir laut Kota Tinggi. Pantai-pantai paling popular ialah Tanjung Balau, Desaru , Batu Layar dan Tanjung Sedili yang masing-masing terletak 58 km, 55 km, 62 km dan 45 km dari bandar Kota Tinggi. Chalet-chalet dan hotel-hotel yang menawarkan kadar yang berpatutan boleh didapati dengan mudah di sepanjang pantai.

Teluk Sengat yang terletak 25 kilometer di timur bandar Kota Tinggi merupakan kampung makanan laut yang popular di kalangan pelancong, khususnya pelancong-pelancong dari negara Singapura. Untuk sampai ke Kota Tinggi orang ramai boleh menggunakan susur keluar Tol Kulai melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Kota Tinggi tidak mempunyai laluankereta api tetapi masih boleh berbuat demikian. Stesen KTM johor Bahru merupakan Stesen terdekat. Jaraknya hanya 45 kilometer sahaja dari bandar Kota Tinggi.

KAMPUNG FELDA AIR TAWAR SATU

Felda Air Tawar 1 adalah rancangan sawit yang pertama dibangunkan diantara 5 rancangan dalam gugusan Air Tawar. Nama Air Tawar diambil dari nama kawasan tadahan air tawar di Sungai Seluyut. Sempena dengan itu rancangan ini telah dinamakan Felda Air Tawar 1.

Felda Air Tawar 1 mula diterokai pada awal tahun 1969 dan mula menerima para peneroka mulai tahun 1970 sehingga 1972. Jumlah rumah peneroka yang dibina sebanyak 670 buah. Keluasan tanah, tanaman kelapa sawit 2535.49 hektar. Keluasan perkampungan 138.80 hektar. Jumlah keseluruhan penduduk di Felda Air Tawar 1 ialah seramai 4,200 orang. Penduduknya terdiri dari bangsa Melayu dan beragama Islam.

Punca pendapatan penduduknya, dari hasil ladang kelapa sawit, kilang dan juga berniaga. Felda Air Tawar 1 terletak dalam mukim Johor Lama, di daerah Kota Tinggi, Johor. Jarak ke bandar Kota Tinggi lebih kurang 25 km. Jarak ke Balai Polis Air Tawar 2 lebih kurang 6 km. Sempadan Utara Felda Air Tawar 1 ialah Felda Air Tawar 2, dibahagian Barat pula bersempadan dengan Ladang Nanyo, arah Selatan bersempadan dengan Teluk Sengat dan disebelah Timur pula bersempadan dengan Felda Air Tawar 4 & Lok Heng.

Felda Air Tawar 1 ini termasuk di dalam kawasan pentadbiran FELDA wilayah Johor Bahru. Persempadan kawasan pilihanraya meletakkan Felda Air Tawar 1 di dalam kawasan undangan negeri Penawar yang kini diwakili oleh Yang Berhormat Puan Hamimah Binti Mansor dari parti UMNO dan Barisan Nasional. Manakala kawasan parlimennya ialah Parlimen Pengerang yang diwakili oleh yang Berhormat Dato Seri Azalina Binti Othman Said juga dari parti UMNO dan Barisan Nasional.

~Dari Wikipedia Bahasa Melayu

POLITIK WANG DALAM UMNO

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at October 24, 2008 5:54 PM |

1. Saya mendapat banyak laporan berkenaan dengan politik wang dalam UMNO. Demikianlah keadaan sehingga Dato Seri Dr Rais Yatim mencadang secara sinis supaya jawatan-jawatan Majlis Tertinggi ditender. Dato Seri Shahidan Kassim amat marah dan akan tender sebanyak RM1 untuk Rais. Bila makan cili rasa pedas.

2. Saya diberi tahu wang banyak digunakan. Dahulu cuma ketua pemuda bahagian sahaja dapat. Ini menyebabkan pemegang jawatan lain dalam pergerakan enggan bekerjasama. Sekarang semua mendapat sogokan dan hasilnya amat memuaskan bagi penyogok.

3. Ketua-ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa juga dijemput ke Kuala Lumpur untuk berjumpa orang tertentu. Mereka di arah supaya mencalonkan orang-orang tertentu untuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Juga pencalonan Ketua Pemuda. Berkesan atau tidak akan kita lihat daripada pencalonan yang dibuat.

4. Tetapi cawangan dan ahli biasa pun sudah pandai. Mereka menawarkan sokongan mereka jika sekian-sekian banyak dihulur.

5. Mereka yang menang boleh jadi Yang Berhormat, ahli Exco, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, pengerusi syarikat-syarikat Kerajaan dan juga dapat kontrak berjuta Ringgit.

6. Ahli biasa yang memberi sokongan dengan undi mereka dapat apa? Dengan kesedaran akan soal ini maka penyokong dan pengundi pula berpendapat mereka juga harus dapat nikmat daripada pemberian undi mereka. Maka mereka akan menunggu sogokan sebelum memberi undi mereka.

7. Amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai. Mereka jelek dan muak dengan UMNO, orang UMNO dan pemimpin UMNO. Perasaan benci kepada UMNO sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat.

8. Orang ramai melihat UMNO sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada pucuk pimpinan yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan.

9. Dalam pilihanraya umum 2004, rakyat memberi sokongan padu kepada BN. Ini adalah kerana rakyat percaya benar yang kepimpinan baru UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi lebih baik daripada yang terdahulu.

10. Antara 2004 dengan 2008 mereka dapat lihat pemerintahan Abdullah dengan rasuah yang berleluasa dan keruntuhan ekonomi. Mereka juga lihat peranan yang dimainkan oleh keluarganya dan kroni mereka dan juga sikap ahli-ahli kabinet. Apa yang mereka lihat meyakinkan mereka bahawa pemerintahan ini tidak baik. Hasilnya ialah keputusan pilihanraya ke-12.

11. Mereka kecewa bahawa Abdullah bukan sahaja tidak membetulkan keadaan tetapi sebaliknya menafikan kekalahan dan penolakan oleh pengundi, termasuk yang terdiri daripada ahli-ahli dan penyokong UMNO dan lain-lain parti komponen.

12. Saya percaya orang ramai amat kecewa melihat mainan wang dalam UMNO sekarang. Wang akan mengalir dengan banyak dan laju semasa dan selepas pencalonan. Rumah terbuka oleh kementerian sedang diadakan dengan menggunakan duit Kementerian. Semasa rumah terbuka kempen untuk pencalonan diadakan.

13. Menjelang pemilihan bulan Mac 2009 lebih banyak lagi acara dan sogokan boleh diadakan. Kemuncak akan tiba apabila wakil ke Mesyuarat Agong tiba di Kuala Lumpur untuk bersidang.

14. Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.

15. Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok. Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa.

16. Terimalah. Pedulikan jika semua orang tahu. Apa salahnya. Dosa, dosalah. Tetapi seperti disebut di atas apabila pengundi pilihanraya umum sudah benci dan bosan dengan UMNO mereka akan undi parti lawan untuk kalahkan UMNO. Selepas kalah tidak ada lagi jawatan Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain. Tidak akan ada lagi kontrak, AP dan lesen.Tidak akan ada lagi nikmat! Semua pihak akan merana, akan dihina oleh orang. Dan UMNO akan habis riwayatnya. Mereka yang betul-betul sayang kepada UMNO akan kutuk pemimpin dan ahli UMNO.

17. Inilah akhirnya musibah yang akan diterima kerana tamak, kerana rasuah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

Wednesday, October 22, 2008

Musa Hitam mahu generasi muda dalam kepimpinan Umno

KUALA LUMPUR: Generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua Umno yang kini sudah menginjak usia 61 tahun, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.

Katanya, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea-idea yang baru," katanya kepada pemberita pada persidangan akhbar di sini, hari ini.

Biarpun ramai yang beranggapan untuk memulihkan Umno, kombinasi antara generasi tua dan muda merupakan satu tindakan yang bijak, namun Musa berpendapat dalam keadaan Umno yang sudah berusia 61 tahun adalah lebih baik generasi muda mengambil alih parti itu sepenuhnya.

"Kalau kita lihat dalam senarai peringkat tertinggi, kita melihat calon Presiden dan Timbalan Presiden, yang senior dan yang berpengalaman menjadi pilihan, tapi pada saya tidak mengapalah itu pilihan mereka, tetapi jawatan lebih bawah daripada itu saya lebih suka golongan muda yang mengambil bahagian," katanya.

Musa berkata Umno harus sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu kini telah menurun berikutan isu-isu yang ada kaitan dengan persepsi rakyat.

"Persepsi rakyat ialah Umno begitu lama berkuasa dan pada pendapat mereka dari hasil pilihan raya Mac lalu, ada kelemahan-kelemahan yang begitu serius yang Umno tidak dapat mengatasinya termasuk isu rasuah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata generasi kini merupakan orang terpelajar yang boleh berfikir dan tidak mahu lagi menerima amalan rasuah serta mendambakan akauntabiliti serta kredibiliti yang baik pada seorang pemimpin.

"Orang sekarang bukan seperti dahulu, macam zaman saya, kini kebanyakan masyarakat, orang terpelajar yang tidak mahu amalan rasuah, apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti, jika imej mereka tidak diterima maka apa jua yang diperkatakan pemimpin itu tidak mahu mereka terima," katanya.

Sementara itu, Musa yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai proses pemilihan pemimpin yang sedang berjalan dan menyifatkan cara pemilihan calon yang dibuat berasaskan ukuran lama.

Setakat ini tiada seorangpun calon yang hendak bertanding dengan jelas menyebut bahawa sekiranya dipilih maka pemimpin itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani kesan akibat krisis ekonomi dunia, jelasnya.

Menurut Musa, ini membuktikan anggota Umno sibuk berebut kuasa untuk kepentingan diri sedangkan yang sepatutnya mereka fikirkan ialah masalah rakyat dan cara bagi mengatasinya. BERNAMA

SELAMAT DATANG


Selamat Datang ke laman Blog Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan FELDA Air Tawar Satu, Bahagian Pengerang.